Kepada sesiapa yang sudah berumahtangga dan sudah memiliki cahaya mata ataupun 'sedang' memiliki cahaya mata, sudah tentu amat memahami tulisan ini.
Apabila bercerita tentang mengandung, isu yang biasanya timbul ialah pantang larang, petua dan mengidam yang wajib dipatuhi. Secara tidak sedar amalan ini telah lama melekat dalam minda-minda Melayu sehinggakan bertukar menjadi sesuatu yang sukar untuk dibuang.
Banyak pantang larang seperti cara pemakanan, pemakaian, pertuturan yang sesetengahnya memanglah positif tetapi ramai dikalangan kita tidak mengetahui hakikat sebenar sebab musabab ianya dilakukan. Samalah seperti masalah dalam bermazhab. Kekadang amalan ini membendung Melayu untuk terus bersaing dalam dunia yang semakin moden ini. Contohnya seperti pantang larang memakan sesetengah buah-buahan. Fakta begini diberi bukanlah dari sudut kesihatan. Ianya cuma dari mulut orang-orang tua yang mentafsirkan kategori buah-buahan panas dan sejuk. Walaubagaimanapun, pakar bayi selalu menasihati ibu-ibu mengandung supaya memakan buah-buahan dengan banyak untuk vitamin bayi.
Pantang larang yang paling digeruni ialah menzalimi binatang. Akibatnya akan terbalas kepada bayi dengan kelahiran yang tidak sempurna seperti cacat anggota. Kita harus tahu, menzalimi binatang memang diharamkan dalam Islam pada setiap keadaan sekalipun. Namun dalam kondisi mengandung, mengapa ianya menjadi begitu wajib untuk dipatuhi. Harus diingat, keadaan bayi yang kurang sempurna bukanlah disebabkan kezaliman ibubapa. Kekadang ibubapa diuji Allah dengan keadaan itu. Tapi, bagi pengamal kepercayaan ini, fitnah akan timbul dengan membawa cerita-cerita kezaliman ibubapa dimasa mengandung. Kekadang, keadaan menjadi semakin serius apabila pekerja seperti nelayan, tukang sembelih dan pekerjaan yang melibatkan haiwan, mereka takut dan was-was dalam pekerjaan mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil.
Dalam petua-petua seperti membaca surah Luqman untuk anak yang cerdik, membaca surah Maryanm untuk mendapat anak, membaca surah Yusuf untuk mendapat anak lelaki, walaupun ianya berunsurkan Islam, ia pun telah disahkan tiada nas yang mengatakan khasiat ayat-ayat tersebut keatas bayi. Tetapi bacaan Al-Quran memang baik untuk pendengaran sama ada kita yang telah dewasa ataupun bayi dalam kandungan. Oleh itu pilihlah mana-mana surah di dalam Al Quran. Keadaan seperti ini menyebabkan amalan yang baik hanya dilakukan mengikut keperluan. Perkara ini sudah lali dalam masyarakat Melayu.
Penekanan paling besar dalam hal mengandung ini ialah mengidam. Semua orang mengakui hakikat ini namun sejauh mana kebenarannya? Dari cerita klasik Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Dang Anum menjadi korban akibat memakan nangka di raja. Dari bilik-bilik kursus perkahwinan, ustaz-ustaz menyogok calon-calon dengan cerita lucu berkenaan mengidam ini sampaikan ada yang makan sabun, selipar jepun, tidak boleh mencium bau badan suami dan lebih parah lagi, ianya juga boleh terkena kepada suami. Dari mulut ibu mertua pula, macam-macam nasihat diberikan bagi keperluan menunaikan hajat isteri.
Kita percaya bahawa perempuan yang mengandung akan mengalami sindrom mengidam. Namun, setelah zaman berlalu, ianya bertukar kepada amalan apabila mengandung hinggakan fakta songsang orang tua-tua mengatakan ianya kehendak bayi dalam kandungan.Sekiranya tidak dipenuhi, dikhuatiri akan mendatangkan kesan kepada bayi.
Kajian sains mengatakan ianya ada kaitan dengan hormon. Perubahan hormon ini menyebabkan keletihan, muntah-muntah, emosi mudah tersentuh, marah-marah dsb. Perubahan hormon wanita memberi kesan yang ketara terhadap emosi seperti juga Premenstrual Syndrome (PMS). Namun, kesan sindrom ini hanya disebabkan gangguan psikologi kepada wanita dalam keadaan tidak selesa. Setelah teknologi menghasilkan tuala wanita yang lebih selesa, kita sudah jarang mendengar PMS ini disebut-sebut. Begitu juga keadaannya dengan sindrom mengidam ini. Jika dilihat dari pelbagai sudut, kita dapati wanita dalam keadaan serba kekurangan tidak menghadapi masalah ini. Tapi wanita yang bisa mendapat apa yang dihajati mula meminta-minta perkara yang diluar jangkauan. Ini adalah kerana kawalan psikologi bagi wanita yang tahu dia tidak mampu mendapatkan apa yang dihajati lebih kuat dari kawalan wanita yang selalu meminta-minta. Anak yang manja dengan ibubapa sanggup tinggal bersama ibubapa untuk mendapatkan menu-menu yang berlainan setiap hari. Namun wanita yang tahu suaminya hidup sederhana, selesa memakan menu yang sama setiap hari.
Dengan ini, faktor kawalan psikologilah yang sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam mengatasi sindrom mengidam ini. Kecekalan wanita membawa kandungan selama sembilan bulan amat dihargai. Mungkin faktor inilah yang kekadang menyebabkan wanita itu mahukan sesuatu yang istimewa dalam tempoh tersebut. Si suami pula cuba melakukan apa sahaja demi isteri tercinta. Akan tetapi, gejala ini semakin berlarutan sehingga akan membawa kepada keperluan memenuhi kehendak ibu yang mengandung. Ia mungkin suatu masalah yang boleh dipandang ringan kerana hanya melibatkan makanan. Tetapi, masalah yang sebenarnya ialah, ia sudah menjadi kewajipan dan mendatangkan kepercayaan karut yang memundurkan masyarakat. lihat sahaja masyarakat barat yang tidak menekankan gejala ini dalam kehidupan mereka. Wanita mengandung masih lagi energatik, produktif selagi belum sampai masanya. Masyarakat kita hanyalah fikirkan makanan apa yang hendak dipenuhi bagi menghilangkan mengidam. Apakah ini dapat membantu?
Mungkin ramai wanita yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. tetapi fikirkanlah apa yang terjadi pada kenduri arwah, tahlil, talkin, yasinan...ia memang sukar untuk dibuang. Pada suami yang menghadapi isteri yang mengidam dengan teruk, mereka akan tahu. Saya bercakap melalui pengalaman. Saya mencuba dakwah psikologi berkenaan tabiat mengidam ini kepada isteri saya yang bakal melahirkan anak pertama Januari ini, Alhamdulillah, tiada masalah mengidam. Jalan takwa adalah ubatnya. Tahniah kepada isteri tercinta.