Saturday, July 26, 2008

Friday, July 25, 2008

Saturday, July 5, 2008

“Saya tidak tahu…”

“Saya tidak tahu…” Itulah perkataan yang paling berat disebut oleh sebahagian mereka yang bergelar ustaz dan ustazah apabila diajukan soalan-soalan agama. Golongan ini sangat fobia dengan perkataan tidak tahu, tidak ingat, lupa dan seumpamanya. Malu jika orang tahu bahawa dia tidak tahu. Takut jawapan sebegini mengaibkannya. Takut selepas ini orang tidak lagi menghormatinya. Ustaz yang terkena sindrom ini apabila disoal fatwa yang dia tidak tahu jawapannya, dia akan cuba menutup kelemahan dirinya. Caranya ialah dengan berlagak tahu, dan cuba menjawabnya secara rambang
Aib sangatkah ucapan ’saya tidak tahu’ sehingga ada yang sanggup menggadai amanah ilmu kerana malu menyebutnya? Berdosakah seorang ustaz jika tidak menjawab soalan yang dia tidak tahu atau tidak yakin?
Hakikatnya, seorang ustaz yang menjawab segala permasalahan agama adalah seorang individu yang tidak waras!!! Ibn Abbas r.a. berkata: “Sesiapa yang berfatwa dalam segala masalah yang ditanya oleh orang ramai, maka dia adalah orang gila”. Kerana, tidak mungkin seorang insan dapat menguasai segala ilmu tanpa ada sedikit pun kekurangan.
Allah Taala sudah memberi amaran supaya tidak sewenang-wenang mengeluarkan hukum-hakam agama tanpa ilmu. FirmanNya: “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung”. (Al-Nahl: 116).
Di dalam satu hadis yang direkod oleh Ahmad, Abu Daud dan lain-lain, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa berfatwa tanpa ilmu, maka dosanya adalah bagi orang yang berfatwa”.
Para ustaz sewajarnya membayangkan dosa dan pahala, syurga dan neraka di hadapannya sebelum menjawab soalan-soalan agama. Sebagaimana nasihat Imam Malik: “Sesiapa disoal satu masalah, maka sebelum menjawabnya hendaklah dirinya membayangkan syurga dan neraka, dan bagaimanakah untuk melepaskan diri pada hari akhirat. Selepas itu, barulah menjawab soalan”.
Kalau tahu jawapannya, Alhamdulillah. Kalau tidak tahu, maka sebutlah, “Saya tidak tahu”.
Imam Malik pernah ditanya satu soalan. Lalu beliau menjawab, “Saya tidak tahu”. Si penyoal itupun berkata, “Imam, ini soalan ringan sahaja…”. Imam Malik lantas berkata, “Dalam ilmu, tidak ada satu pun yang ringan. Tidak pernahkah kamu mendengar firman Allah: Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. (Al-Muzzammil: 5). Dalam ilmu, semuanya berat”.
Atho’ Bin Abi Rabah menceritakan betapa para salaf dan sahabat sangat gentar mengungkapkan hukum-hakam Allah Taala. Katanya: “Aku sempat bertemu dengan beberapa kumpulan manusia, apabila salah seorang mereka ditanya suatu permasalahan, dia menjawabnya dalam keadaan menggeletar”.
Utbah Bin Muslim menceritakan tentang Ibn Umar r.a. Katanya, “Aku bersahabat dengan Ibn Umar selama 34 bulan. Apabila ditanya soalan kepadanya, kerap kali dia menjawab: Aku tidak tahu”.
Imam Syafie juga seorang yang amat berhati-hati dalam menjawab soalan. Pernah beliau ditanya satu soalan, lalu beliau senyap tanpa menjawab. Penyoal itu bertanya, “Adakah kamu tidak mahu menjawabnya?” Jawab Imam Syafie: “Sehingga aku mengetahui adakah kelebihan terletak pada jawapanku atau pada diamku”.
Kalaulah para salaf amat berhati-hati dalam menyebut hukum Allah, dan tidak segan menyebut, “Aku tidak tahu”, apakah kita yang amat jauh dengan ilmu masih malu menyebutnya, dan memandang ringan dalam mengucapkan satu-satu fatwa?!!

Sumber : http://abuumair1.wordpress.com/2008/07/04/saya-tidak-tahu/

Thursday, July 3, 2008