Thursday, December 25, 2008

Hukum Mengucapkan Merry Christmas

Penulis: Hafiz Firdaus Abdullah
Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/

Apabila penulis menaip “Why do we celebrate Christmas” di enjin carian internet www.google.com, hasil penemuan pertama yang dikemukakan menyebut:

Why do we celebrate Christmas? It is Jesus' birthday! His mommy was Mary and His earthy Father was Joseph. His real Father is God and Jesus was God's gift to all of us!

Christmas is the celebration of the birth of Jesus. Christians decided to celebrate this day many years after He was born. December 25 was picked as this day, even though it probably is not the exact day He was born. That is not as important as the reason we celebrate Christmas. Jesus is the reason for the season. The season is not just to receive gifts, get time off from school or eat a lot of good stuff. Remember that Jesus was born for us...to take away our sins...so that we can be forgiven of the bad things we do forever. This is the greatest gift of all! [www.godschildrenscorner.com]

Jelas Christmas Day adalah sambutan bersempena dua perkara, pertama: Jesus sebagai anak Allah dan kedua: pengorbanan Jesus oleh Allah sendiri demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Adalah memadai dalam artikel ini kita memberi tumpuan kepada yang pertama sahaja, iaitu Jesus sebagai anak Allah.

Apakah pandangan Islam tentang dakwaan Allah memiliki anak? Jawapannya boleh diperolehi secara jelas daripada al-Qur’an.

Pertama, Allah adalah Tuhan yang bebas daripada diperanakkan atau memiliki anak. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Satu, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya". [al-Ikhlas 112:1-4]

Kedua, mengatakan Allah memiliki anak adalah satu kesalahan yang amat berat:

Dan mereka berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”

Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak. [Maryam 19:88-92]

Ketiga, dakwaan Allah memiliki anak adalah sebahagian daripada kepercayaan Trinity yang dipegang oleh orang-orang Kristian. Kepercayaan Trinity bermaksud Allah adalah tiga sekalipun satu, iaitu (1) The Father, (2) The Son and (3) The Holy Spirit. Ini adalah satu kesalahan yang telah dinyatakan oleh al-Qur’an sejak lebih 1400 tahun yang lalu:

Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.

Sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam (Jesus) hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam dan (merupakan tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (Trinity)".

Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [an-Nisa’ 4:171]

Keempat, apabila orang-orang Kristian enggan berhenti daripada kepercayaan Trinity mereka sebagaimana yang dilarang oleh ayat 171 surah an-Nisa’ di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghukum mereka kafir:

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan.” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Maidah 5:73]

Ayat-ayat al-Qur’an di atas tidaklah bersifat samar-samar dalam menyatakan kesalahan mendakwa Allah memiliki anak. Pengkhususan diberikan kepada kepercayaan agama Kristian yang mendakwa Jesus adalah anak Allah. Jesus sebagai anak Allah adalah salah satu unsur Trinity. Berpegang kepada kepercayaan sebegini adalah satu kekafiran yang tidak diragukan lagi.

Alhamdulillah umat Islam bebas daripada kepercayaan Allah memiliki anak dan Trinity. Akan tetapi umat Islam tidak sahaja dituntut untuk menjauhi kepercayaan sedemikian tetapi juga dilarang daripada membantu atau menyokongnya. Ini kerana di dalam Islam, apabila sesuatu perkara itu adalah salah maka kita bukan sahaja dituntut untuk menjauhi kesalahan tersebut tetapi juga dilarang daripada membantu dan menyokong kesalahan itu. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [al-Maidah 5:02]

Termasuk dalam keumuman perintah “…bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan…” ialah membetulkan kepercayaan orang-orang Kristian. Hal ini kita lakukan bukan dengan menzalimi mereka tetapi dengan dakwah dan dialog dengan cara yang terbaik, yakni dengan ilmu dan hikmah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, melainkan kepada orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka. Dan katakanlah (kepada mereka yang zalim): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu. Dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri." [al-Ankabut 29:46]

Termasuk dalam keumuman perintah “…janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa…” ialah jangan kita membantu dan menyokong kepercayaan orang-orang Kristian. Di antaranya ialah jangan diucapkan: “Merry Christmas” kerana dengan ucapan ini atau apa-apa yang seumpama, kita mengiktiraf kepercayaan mereka dan memberi ucapan tahniah untuk mereka meneruskan kepercayaan tersebut. Ini dilarang dan amat bertentangan dengan apa yang sebenarnya dituntut ke atas kita.

Adapun tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, yakni orang-orang Yahudi dan Nasrani, ia adalah tindakan yang menafsirkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08]

Akan tetapi menghormati dan berbuat baik kepada orang bukan Islam, dalam kes ini orang-orang Kristian, tidaklah sampai ke tahap membenarkan dan membantu kepercayaan mereka yang syirik kepada Allah. Sebagai contoh, apabila memerintahkan anak-anak berbuat baik kepada ibubapa, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan jika mereka berdua (ibubapa) mendesak kamu supaya mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. [Luqman 31:15]

Jelas bahawa berbuat baik tersebut adalah dengan syarat ia tidak melibatkan apa-apa yang bersifat syirik kepada Allah. Jika melibatkan syirik maka tidak ada ketaatan. Namun sekalipun dalam suasana syirik tersebut, anak-anak tetap dituntut bergaul dengan ibubapa mereka dengan cara yang baik.

Justeru kita memang dituntut berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam. Akan tetapi tuntutan ini tidaklah ke tahap kita melakukan syirik kepada Allah atau kita mengiktiraf dan membantu orang bukan Islam melakukan syirik kepada Allah. Hal ini perlu dibezakan dengan baik. Perhatikan bahawa sekalipun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, baginda tidak sekali-kali memberi ucapan tahniah dan menyertai perayaan keagamaan mereka.

Timbul persoalan seterusnya, bagaimana seharusnya sikap kita kepada majikan, guru, rakan-rakan, jiran-jiran dan ahli keluarga kita yang menyambut Christmas Day? Untuk menjawab persoalan ini, penulis ingin mengajak para pembaca sekalian melakukan satu anjakan paradigma. Sedar atau tidak, kita umat Islam apabila menghadapi sesuatu persoalan seringkali akan cuba mengubahsuai agama Islam supaya selari dengan persoalan tersebut. Kenapa tidak dilakukan yang sebaliknya, iaitu mengubahsuai persoalan supaya selari dengan agama Islam? Sudah sampai masanya Islam dan umatnya menjadi pemimpin, bukan asyik dipimpin.

Dalam kes ini, sikap kita terhadap orang-orang Kristian yang berkaitan ialah menerangkan kepada mereka bahawa kita menghormati kepercayaan yang mereka pilih. Akan tetapi tidaklah bererti kita mengiktiraf dan menyertai perayaan keagamaan mereka kerana ia bertentangan dengan prinsip agama kita sendiri. Melalui penerangan yang berhikmah dan ilmiah, pasti mudah untuk orang-orang Kristian menerimanya. Malah mungkin ia dapat membuka ruang dakwah untuk kita membetulkan kepercayaan Trinity yang mereka pegangi.

Sudah tentu bahawa penjelasan dalam dua perenggan terakhir di atas adalah berdasarkan kemampuan setiap individu. Jika seseorang tersepit dalam suasana yang menekan, maka dibolehkan baginya mengucapkan Merry Christmas sebagai pilihan yang terakhir. Allah sebagai tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun mengetahui apabila seseorang hambanya terpaksa melakukan satu perkara yang tidak diingininya.

Perkara lain yang perlu digariskan adalah, tidak mengucapkan Merry Christmas tidak bererti akan menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia. Ini kerana perpaduan rakyat bukan bererti persatuan agama tetapi saling menghormati ajaran agama masing-masing.[1]

Menghormati ajaran agama masing-masing bukanlah bermaksud kita umat Islam perlu mengalah kepada orang Kristian dengan mengucapkan Merry Christmas kepada mereka, tetapi dengan orang Kristian sendiri yang mengalah kepada umat Islam dengan menghormati kenapa ajaran Islam melarang umatnya daripada mengucapkan Merry Christmas.

[1] Perlu dibezakan bahawa “menghormati ajaran agama masing-masing” tidaklah bererti kita boleh menjadikan umat beragama lain sebagai Wali. Kedua, ia tidak bererti kita boleh meninggalkan kewajipan untuk berdakwah kepada mereka. Lebih lanjut rujuk risalah penulis: Kerukunan Antara Agama, Bukan Kesamaan Antara Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah – Buku 2 (Jahabersa, Johor Bahru 2005).

Friday, December 19, 2008

Syiah Datang Untuk Menguatkan Islam atau Meruntuhkannya?

Dengan imej sebagai pembela umat Palestin, Hizbullah meraih kemenangan yang diiktiraf oleh Israel dalam perang Israel – Hizbullah yang lalu. Peningkatan imej kaum Syiah ni berganda-ganda mendapat sokongan mereka yang buta sejarah dunia Timur Tengah. Dengan imej keberanian memprovokasi Amerika dan Israel dengan mencanang perang media paling hebat abad ini, imej syiah diformat sebagai pembela umat Islam dan penyatu umat islam diserata dunia. Inilah masa sesuai kaum parsi mengeksport Revolusi Syiahnya dengan lebih agresif ke seluruh dunia Islam dengan menampilkan imej persamaan dan persaudaraan sesama Islam. Namun benarkah begitu? Berdasarkan kajian hakikat yang timbul ialah kulitnya sama tetapi isinya berbeza malah beracun. Apa yang didakwa sama itu sebenarnya telah lama hadir dalam bentuk sebagai “pesaing” disebalik tabir yang kini makin tersingkap dengan beberapa point yang dipetik oleh penulis di bawah. Semuanya membuktikan Syiah sebenarnya merupakan pencabar paling licik kepada agama kita yang mulia ini.


Setiap yang ada pada Islam pasti ada ‘copy’ dari agama Syiah. ‘Copy’ ini hadir pada hakikatnya bukanlah untuk menguatkan agama Islam tetapi dicipta untuk merombak aqidah dan keyakinan manusia pada satu-satunya agama di sisi Allah – ISLAM. Islam datang menghamparkan aqidah serta sendi-sendinya yang sedia tertegak, Syiah pula men’duplicate’ dan menggubah semula dalam bentuk Parsinya bagi menghancurkan kesemuanya dari dalam dengan slogan 'persamaan' dan 'persaudaraan' sesama Islam.

Lihatlah bagaimana Islam dicabar oleh Syiah :

  1. Kalam Allah iaitu Al-Quran Al-Karim dicabar oleh “mushaf Fatimah”, atau “Mushaf Imam Ali’, “al-Jami’ah”, atau “Sahifah al-Namus”, atau “Sahifah al-Abithah”, atau “Sahifah al-Dzuabah al-Saif” atau “al-Sahifah al-Kamilah” atau “al-Jufr” oleh Syiah yang akan dibawa oleh Imam Mahdi (sebenarnya Messiah Dajjal) mereka. Begitu juga umum mengetahui lebih 2000 riwayat daripada agama Syiah yang mendakwa Al-Quran sekarang adalah palsu direka-reka oleh para sahabat nabi.
  2. Para Nabi Allah yang diutuskan oleh Allah disaingi oleh Syiah dengan menghadirkan ciri-ciri khusus kepada para imam mereka berdasarkan riwayat-riwayat dusta dari pendusta Yahudi dan Nasrani seperti – sifat maksum, menerima wahyu, dan darjat Imam yang melebihi para Nabi Allah berketurunan Bani Israil, dan dakwaan mereka menyatakan para Nabi Allah tidak mampu mencapai darjat Imam mereka. Ia termasuklah kenyataan Syiah menyatakan Fatimah pun menerima wahyu dan Jibrail tersilap menghantar wahyu kepada Nabi Muhammad yang sepatutnya dihantar kepada Ali.
  3. Baitullah al-Haram - Ka’bah di Tanah Suci Makkah, dicabar oleh Ka’bah Syiah di Najaf. Sebelum kelahiran Islam, Raja Abrahah di Yaman membina sebuah ka’bah palsu kerana kedengkiannya terhadap Baitullah di tanah suci Makkah dianggap musuh Allah serta kufur dan kisahnya masyhur sehingga dirakam dalam Al-Quran (surah al-Fil) sebagai pengajaran umat kemudian. Kejahatan dan kekufuran Abrahah tidak padam setakat men’duplicate’ Ka’bah tetapi menyerang kota suci yang mulia dengan tentera bergajah dan kisahnya sering disebut-sebut dalam penceramah maulid al-rasul di Malaysia saban tahun. Justeru apakah tidak layak untuk kita menyamakannya dengan kejahatan dan kekufuran syiah yang juga bukan sahaja turut men’duplicate’ Ka’bah di Najaf tetapi bahkan turut menyerang Ka’bah membunuh ribuan para jemaah haji dan kaum Syiah Qaramitah juga telah merampas Hajar al-Aswad dibawa ke Najaf selama bertahun-tahun. Hakikatnya Rumah Allah di Makkah dan Madinah bukan terselamat sebenarnya kerana ia akan diancam oleh Mahdi Syiah (Dajjal) yang bakal muncul nanti seperti yang dijelaskan oleh hadis-hadis Syiah.
  4. Keutamaan Tanah Suci Aqsa, Makkah, Madinah oleh Islam melalui Kalam Allah dan Rasul-Nya dicabar oleh tanah-tanah yang lebih suci bagi kaum Syiah - Karbala’, di Iraq atau kini kota suci Qom dan Mashad di Iran yang disucikan oleh perawi-perawi pembohong Syiah yang bearasal dari Yahudi. Padahal tanah-tanah suci ini juga merupakan tempat kelahiran imam-imam Syiah sendiri. Betapa banyak hadis syiah yang mengutamakan tanah Karbala’ tempat terbunuhnya al-Husein sehingga batu-batu Karbala’ menyertai solat mereka. Lihat pula bagaimana orang-orang berasal dari keturunan parsi yang menyembah api boleh menganggap bekas tanah berpijaknya raja Kisra yang enggan menerima Islam bila diutuskan surat kepadanya, iaitu Qom dan Mashad sebagai tanah suci bagi agama Syiah. Tidakkah ia membuktikan manusia pengkhianat kaum syiah sebenarnya sentiasa menyaingi perkara berkaitan bumi Bakkah yang sungguh mulia di sisi Allah itu?
  5. Zakat vs Khumus. Khumus iaitu mengeluarkan seperlima harta kepada Imam Mahdi yang ghaib muncul ketika era keghaiban kecil ‘Mahdi’ bersama munculnya kitab-kitab Syiah yang empat iaitu, Usul al-Kafi, al-Istibsar, Tahzib al-Ahkam dan Man La Yahduruh al-Faqih. Ketika itu lebih dari dua puluh orang mujtahid dan sayyid mengaku sebagai wakil imam ghaib dengan berkata : Kami secara lansgung mendapat ilham dari imam yang ghaib”. Membolehkan mereka untuk mengambil seperlima dari harta hasil usahan pengikut mereka – Syiah sebagai ufti. Khomeini memfatwakan harta itu bukan sahaja terhad kepada Imam dan keturunan Ahli Bait bahkan diperuntukkan kepada kira-kira 100 mujtahid agama Syiah bagi mengagihkan harta-harta Syiah yang menimbun sejak zaman Imam Ghaib yang tak terkira jumlahnya. Ulama’ Syiah telah mendahulukan khumus untuk kepentingan diri mereka berbanding ibadat zakat yang berkat yang tidak pernah difardhukan dalam agama Syiah.
  6. Sahih al-Bukhari disaingi oleh Usul min al-Kafi karangan al-Kulaini yang dianggap oleh syiah lebih sahih. Hadis-hadis al-Bukhari dan Muslim yang ditapis menerusi disiplin yang ketat ilmu dirayah dan ilmu riwayah mencapai kedudukan kedua paling sahih selepas Al-Quran disaingi oleh hadis-hadis al-Kulaini yang mana disahihkan oleh ulama’-ulama’ silam Syiah tanpa soal dan penerimaan secara mentah tanpa menggunakan apa-apa disiplin ilmu pun bagi membahaskan status sekian banyak jumlah perawi-perawi dalam kitab berkenaan. Hakikat yang jelas para perawi itu berasal dari agama Yahudi dan Nasrani yang dikecam dilaknat oleh para imam Syiah sendiri. Bila mana hakikat ini jelas dengan nyata, muncullah ulama’-ulama’ moden Syiah menapis dan mengkritik Usul al-Kafi secara bertaqiyyah bila berhadapan dengan ulama’-ulama’ Sunnah tetapi disebaliknya mereka menerima dan mengamal hadis-hadis mereka tanpa taqiyyah.
  7. Dua Hari Raya Besar Islam iaitu ‘Iid al-Fitri’ dan ‘Iid al-Adha’ merupakan hari kemenangan umat Islam hadir bagi menggantikan Hari Nairuz (Nawrooz) dan Hari Mahrajan, dua perayaan kaum Parsi yang telah menyelinap dalam amalan jahiliyyah Arab. Tetapi lihatlah di Iran hari ini betapa Hari Nawrooz ini menjadi hari ulang tahun Iran dan Hari Mehrajan diraikan bagi menghidupkan apa yang telah dihapuskan oleh Allah kepada umat Islam. Di samping perayaan-perayaan berunsur Parsi yang lainnya seperti meraikan Hari Baba Shuja’ (Abu Lu’luah) – meraikan kemenangan Parsi bagi meraikan terbunuhnya khalifah Umar ditangan Abu Lu’luah, Hari Ghadir, Maulid Fatimah,Pesta Api atau Chahar Shanbeh Soori dan pelbagai hari-hari besar kalendar Parsi yang pernah disebutkan oleh abunajmi dalam artikel beliau sebelum ini.
  8. Azan umat Islam yang disyariat secara tauqifi dan dilaungkan di tanah Makkah dan Madinah serta seluruh dunia sejak zaman Nabi disaingi oleh Azan Syiah yang nyata berbeza sama sekali.
  9. Kepercayaan terhadap konsep Imam Mahdi di kalangan Sunnah yang diyakini sebagai khalifah biasa tanpa memiliki apa-apa kelebihan disaingi oleh Mahdi Syiah yang memiliki mukjizat dan ciri-ciri yang sungguh ‘istimewa’ dengan pembalasan dendam bagi menghapuskan umat Islam. Mahdi Syiah ini bukanlah rahsia di kalangan Syiah sebagai Messiah Dajjal berdasarkan keterangan hadis-hadis syiah sendiri.
  10. Nikah secara islam dicabar oleh Nikah Mut’ah Syiah. Mut’ah pernikahan jahiliyah yang telah diharamkan oleh Nabi s.a.w semasa perang khaibar berdasarkan keterangan hadis Syiah sendiri yang berbunyi. Menurut riwayat mereka, Amir al-Mu’minin berkata : “Pada hari khaibar Rasulullah s.a.w telah mengharamkan keldai peliharaan dan nikah mut’ah”. [Lihat Furu’ al-Kafi, jil.2, m.s : 48, Tahzib al-Ahkam jil.2, m.s 186, al-Istibsar, jil.3, m.s 142, Bihar al-Anwar, jl.100, m.s : 318 dan Wasa’il al-Shiah jil.14, m.s 441.] Nikah mut’ah dihidupkan semula oleh Syiah malah menjadi usul agama mereka [Lihat, jil.3 m.s : 366 dan Tafsir Manhaj al-Sadiqin, jil.2, m.s : 495]. Ia dihalalkan tanpa had jumlah wanita walaupun dengan hanya sekali tidur dengan kanak-kanak yang berusia 10 tahun dan dengan tujuan-tujuan tertentu seperti ; bagi mendapat ganjaran mengunjungi Ka’bah (mengerjakan Haji) sebanyak 70 kali. Untuk memadamkan kemarahan Allah dan mendapat keampunan Allah dari dosa-dosa yang dilakukan serta akan berdampingan dengan Nabi disyurga kelak [ Lihat : Man La Yahduruh al-Faqih, jil.3, m.s : 366 ].
  11. Paling sadis ialah fatwa Khomeini yang berbunyi : “Tidak mengapa melakukan mut’ah dengan anak yang masih disusui dengan pelukan, himpit keduan peha dengan kemaluan dan ciuman”. [Lihat tahrir al-Wasilah, jil.2, m.s : 241]. Mut’ah dihidupkan bagi melampias nafsu buas para ulama’ Syiah terhadap wanita dan menentang ayat Allah yang mensyariatkan hanya empat isteri sahaja diperbolehkan untuk dinikahi, “…Nikahilah seorang wanita, atau dua orang, atau tiga orang atau empat orang. Jika kamu bimbang tidak berlaku adil maka hendaklah kamu nikah dengan seorang isteri sahaja..” [Surah al-Nisa’, ayat 3 ]. Justeru kehadiran Syiah ini sememangnya untuk meramaikan jumlah anak-anak luar nikah dan mencemarkan imej islam di atas nama zina yang halal. Anak-anak luar nikah merupakan salah satu kelompok pengikut Dajjal yang paling ramai.
  12. Husainiyyat pada 10 Muharram – Hari Raya Karbala’ yang disadurkan dari penyesalan kaum Yahudi diatas dosa-dosa mereka. Amalan ini diwarisi dari amalan kaum syiah Kufah yang terkenal dalam sejarah sebagai kelompok ‘al-Tawwabun’ yang bertindak mengutus surat kepada Husein bin Ali bagi membunuhnya dengan bertindak menjemputnya dengan alasan ingin membai’ahnya sebagai pemimpin di Kufah. Ia membuktikan sebenarnya Syiah telah melakukan perbuatan yang sama seperti Yahudi membunuh orang-orang salih termasuk nabi-nabi mereka. Bezanya syiah membunuh orang-orang salaf al-salih seperti Umar al-Khatab, khalifah Uthman, Ali bin Abi Talib serta kedua cucu Rasulullah s.a.w ; Hasan dan Husein bin Ali r.a dengan bertindak menyelinap dengan nama kelompok khawarij dan penentang Husein. Apa yang pasti dengan imej memukul pedang bada badan diri sedniri, menyiksa dan bersikap kejam terhadap anak-anak sendiri ini telah mencemarkan nama Islam sebagai sebuah agama yang bersifat perikemanusiaan menghormati diri sendiri serta agama yang waras. Di Malaysia penganut Syiah menyambut dengan taqiyyah disebalik memasak bubur Ashura’ dan menepuk dada mereka kerana jumlah mereka masih belum ramai lagi. Saat taqiyyah akan berkubur bila mana jumlah mereka menjadi majoriti. Contoh Husainiyyat.

Kesimpulan

Inilah sebahagian daripada slogan ‘persamaan’ agama dan ‘persaudaraan’ dari segi kulit yang dieksport oleh syiah ke serata dunia khususnya di alam melayu ini. Semoga kita terus mengkaji dan mengenali asal usul salah satu cabang gabungan agama Yahudi + Parsi yang sedang riuh memekik kepada umat Islam Malaysia di alam maya ini. Buang sikap berbaik sangka apabila berhadapan dengan Yahudi ini kerana dalam al-Quran menyebut, “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepada kamu sehingga kamu masuk kepada agama mereka”. Sebagaimana juga maksud hadis, Baginda Nabi s.a.w menyuruhkita mengelakkan anak-anak yang baru lahir dari menjadi Yahudi, Nasara atau Majusi… Janganlah kita semua mati melainkan dalam Islam yang suci dan paling sesuai dengan fitrah manusia ini.

tenteradajjal.blogspot.com

Sunday, December 14, 2008

Saasatul Ibaad | Faisal Tehrani Mengaku Syiah

Ini buku terbaru yang saya baca, kali ini bukan dari kategori non-fiksi, ia sebuah novel, berlatarkan sejarah tahun 1699, dalam Kerajaan Johor Lama, yang kesudahannya saya rasa semua tahu dan maklum, kerana ia pernah difilemkan, Sultan Mahmud Mangkat Di Julang.

Novel ini adalah tulisan Faisal Tehrani, penulis muda yang sedang membina nama sebagai penulis tersohor. Saya mula menggemari gaya bahasa Faisal sejak mula berkenalan dengan karyanya lewat 1515. Sebelum itu saya hanya membaca novel Melayu karya Abd. Talib Hassan ataupun Abdul Rahim Awang. Penulis-penulis hebat biasanya membawa personaliti mereka dalam penulisan, begitulah Abd. Talib Hassan, begitulah Abdul Rahim Awang, maka begitulah juga si Faisal Tehrani ini.

Saasatul Ibaad maksudnya pemain politik, ringkasnya ia bercerita tentang pemain-pemain utama dalam senario politik Johor Lama di sekitar tahun 1699 itu, cerita ini berkisar di sekitar watak-watak benar yang difiksyenkan secara sangat baik oleh Faisal.

Di sebalik langgam bahasanya yang mengasyikkan, Faisal ternyata telah sangat menggusarkan saya. Menggunakan kehalusan ayat-ayatnya, Faisal melemparkan dan mengajar doktrin Syiah, lebih dari itu meletak watak-watak utama dalam Kerajaan Johor Lama seperti Bendahara Tun Habib Abdul Majid, anakandanya Bendahara Tun Abdul Jalil (kemudiannya Sultan) dan guru mereka Orang Kaya Dato Utama Mahdi Hasan dari Naning sebagai pengamal Syiah. Ya, saya faham atas nama fiksyen dan kreativiti, sejarah boleh dilakar dengan apa sahaja rupa dan wajah, tetapi seperti saya katakan tadi, penulis hebat biasanya membawa personaliti mereka di dalam penulisan, dan itulah personaliti Faisal Tehrani. Kehebatan seni Faisal Tehrani nampaknya semakin hari semakin dicemari propaganda ideologinya sendiri.

Sebagai sebuah novel yang berkait dengan cara pemerintahan baik, tidak kisahlah jika Faisal hanya mahu menurunkan pesan-pesan yang pernah disampaikan oleh Saidina Ali Abi Talib sahaja, padahal banyak lagi pesan pasal pemerintahan negara yang boleh dikutip hasil titipan tiga lagi Khulafa’ ur-Rasyidin, Saidina Abu Bakar, Omar dan Osman. Saya juga tidak ralat bila Faisal memasukkan berderet hadis-hadis yang bersanadkan Muhammad ibn Ya’kub al-Kulaini (yang didakwa sebagai ahli hadis paling baik dan paling awal), yang dikenal sebagai mujadid Syiah ketiga. Faisal mungkin sahaja boleh berkata itu kata orang, bukan kata-katanya sendiri.

Tetapi sebuah pantun yang digarap Faisal dan dimasukkan ke dalam novel ini betul-betul menderau darah saya, perhatikan baris-barisnya;

Ada berempat sahabat Nabi,
Ada seorang jadi khalifah,
Abu Bakar, Omar, Osman, dan Ali,
Saidina Ali suami Fatimah.


Faisal nampaknya menganut faham bahawa tidak wujud khulafa’ ur-rasyidin, kerana bagi Faisal, Abu Bakar, Omar dan Osman itu bukan khalifah, hanya Saidina Ali seorang sahaja.

Fasal mensyiahkan Kerajaan Johor Lama pula, Faisal jelas melarik propaganda ini dalam satu dialog Dato Utama Mahdi Hasan, “Sudah. Cakap tuan itu laut yang bahaya. Seperti teluk disangka elok, pulaunya kecil berbahaya, ada batu berendam juga gelombang dan karang yang mengancam. Moleklah disimpan perkara sampai tiba masanya. Mungkin bukan kerja kita. Mungkin zaman Abdul Jalil bila sudah ada peluang dan tersedia ruang, akan kita lakukan perubahan yang pernah kita rencanakan. Johor akan mendapat manusia seperti Alaudin, seperti Aceh pernah mendapat ia, bila tiba masanya. Dan kalau diizinkan Allah dan para sayyid, akan kita dapat negeri walaupun jauh dari Madinah, jauh dari Kufah. Dengan negeri itu kita menantinya nanti kembali mendiri pemerintahan di Kufah.”

Yang lain-lain dari novel ini, yang saya rasa penting juga untuk saya perturunkan di sini sebagai persoalan yang boleh dibincangkan adalah kecenderungan Faisal untuk menggambarkan kebejatan pemimpin dalam novelnya dengan aktiviti seks songsang. Kalau dulu dalam 1515, Puteri Kembang Piah digambarkan sebagai lesbian, dalam Saasatul Ibaad ini pula Sultan Mahmud digambarkan sebagai seorang pelaku homoseks.

Entahlah, kalau ikut di kulit belakang novel ini, Saasatul Ibaad dikatakan sebagai karya Faisal yang paling bercita-cita besar dan provokatif, tetapi bagi saya novel ini tidak lebih sebagai sebuah naskah dakwah seorang mubaligh Syiah yang dikarang indah.

Sumber

Media usah ghairah dedah aib orang

Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Mengejar isu sensasi jangan sampai musnahkan kehormatan umat
Islam



GHIBAH atau mengumpat adalah menyebutkan hal yang dibenci atau menimbulkan kemarahan pihak lain baik hal itu berkaitan dengan kekurangan dalam bentuk fizikal, tingkah laku dan perbuatan sama ada ia dinyatakan secara langsung atau isyarat.

Mengumpat adalah perbuatan dikeji syarak dan pelakunya dianggap seperti memakan daging mayat saudaranya sendiri. Firman Allah SWT, "Dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Suka salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kalian akan merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang" (Al-Hujurat (49):12)

Sekarang ada pihak menjadikan amalan mengumpat ini sebagai kerjaya rasmi. Habis segala hal berbentuk peribadi yang mengaibkan ingin dibongkar menerusi media massa dan dihidangkan kepada masyarakat yang dahagakan cerita sensasi dan kontroversi.

Setengah pengamal media beranggapan perbuatan itu bukan suatu kesalahan kerana mereka hanya menyampaikan cerita yang benar walaupun ia boleh mengaibkan sesetengah pihak. Ada kala isu dimainkan oleh media itu dapat meruntuhkan sebuah perkahwinan, memutuskan tali silaturahim di antara sesama umat Islam dan boleh menyebabkan terjadinya persengketaan yang berpanjangan.

Hendaklah golongan ini memahami sekiranya bentuk keaiban yang diperkatakan pihak lain itu benar sekalipun ia tetap termasuk dalam kategori mengumpat yang diharamkan. Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah sekiranya berita itu tidak benar. Jika ini terjadi maka mereka ini sebenarnya menggabungkan dua bentuk perbuatan mungkar iaitu fitnah dan mengumpat.

Rasulullah bersabda, "Tahukah kalian apa itu mengumpat?" Para sahabat menjawab: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui." Kemudian Baginda bersabda: "Mengumpat adalah ketika engkau membicarakan mengenai saudaramu sesuatu yang dia benci." Ada yang bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana kalau yang kami katakan itu betul-betul ada pada dirinya?" Baginda menjawab: "Jika yang kalian katakan itu benar, bererti kalian telah mengumpatnya. Namun jika apa yang kalian katakan itu tidak benar, bererti kalian telah memfitnahnya." - Hadis riwayat Imam Muslim.

Perkara yang dirasakan boleh memalukan atau menimbulkan kemarahan umat Islam yang lain sepatutnya disembunyikan daripada pengetahuan umum. Hendaklah kita semua ketahui menjaga kehormatan orang Islam lain adalah satu tanggungjawab diperintahkan Rasulullah SAW.

Sesetengah pengamal media begitu berbangga dengan kejayaan mereka apabila dapat membongkar sesuatu isu yang sensasi. Ketahui sikap mereka yang bergembira di atas kesedihan orang Islam yang lain adalah perbuatan yang kelak akan mendatangkan balasan yang buruk. Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah engkau menampakkan kegembiraan di atas kesedihan saudaramu yang akan menyebabkan Allah merahmati dan menimpakan kepadamu kesedihan saudaramu itu." – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi.

Ketika Rasulullah SAW dimikrajkan ke langit Baginda melihat seksaan yang mengerikan menimpa golongan yang gemar mengumpat.

Baginda melewati sekelompok orang yang mempunyai kuku dari tembaga. Mereka mencakar wajah dan dada mereka sendiri dengan kuku tembaga itu. Lalu Baginda bertanya kepada Jibril: "Wahai Jibril siapa mereka itu?" Jibril menjawab: "Mereka adalah orang yang sering makan daging manusia, dan mereka yang suka membicarakan kejelekan orang lain" - Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud.

Justeru, bagi mereka yang menjadikan umpat-mengumpat serta mencari-cari cerita sensasi yang boleh mengaibkan pihak lain sebagai suatu kelaziman, hendaklah mereka melakukan muhasabah terhadap perbuatan mereka itu. Allah SWT berfirman:

"Janganlah kamu mengintip (mencari keaiban) orang lain." - Al-Hujurat (49):12


Oleh itu, janganlah kita semua disibukkan dengan mencari atau mendedahkan keaiban orang lain. Apa yang lebih munasabah untuk kita lakukan bersama adalah untuk melihat keaiban ataupun kekurangan yang ada pada diri kita sendiri agar kita semua dapat membebaskan diri kita daripada melakukan perkara berdosa dan berunsur maksiat. Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya beruntunglah (thuubaa) mereka yang disibukkan oleh aibnya (sendiri) daripada membicarakan keaiban orang lain." - Hadis riwayat al-Bazzar

Ulama menafsirkan istilah thuubaa di dalam hadis di atas sebagai sebuah pohon di dalam syurga dan darjat yang tinggi di dalam syurga. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang beruntung ini. Bagi pemilik syarikat media tempatan berusahalah untuk mengurangkan isu kontroversi yang tidak memberikan faedah kepada masyarakat dan tingkatkan prestasi dalam menerbitkan berita yang dapat membawa umat Islam ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat kelak.