Sumber: http://an-nawawi.blogspot.com/
Kalau suatu ketika atau mungkin sehingga masa ini, nama Holy Water (Air Keramat) memang
cukup terkenal sebagai air sihir yang dikatakan dihasilkan oleh golongan paderi dari kalangan penganut kristian. Sebahagian masyarakat Islam khususnya dari kalangan orang Melayu pernah menggembar-gemburkan isu air tersebut (Holy Water) yang dikatakan memiliki kuasa tertentu yang mampu menjadikan seseorang penganut Islam yang meminumnya murtad dengan serta-merta akibat dari melupai Allah, gagal membaca syahadah, dan lantas membenci agama asalnya. Tetapi sebaliknya akan terus berminat kepada agama kristian dan menganutinya.
Nah! Betapa hebatnya air Holy Water!
Namun sayangnya, fakta-fakta tersebut telah disangkal sendiri oleh para paderi kristian sekaligus menafikan kewujudan air sihir yang bersifat seperti itu. Seandainya ia benar sekalipun, ia tidak akan mampu memudharatkan umat Islam kerana Allah Subhanahu wa Ta’la telah
berfirman,
“Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada sesiapa pun, kecuali dengan izin Allah.” (Surah al-Baqarah, 2: 102)
Secara logiknya, sekiranya Holy Water tersebut benar-benar wujud sebagaimana dikata yang memiliki kuasa sihir untuk mempengaruhi manusia memeluk kristian, sudah tentu tidak akan ada orang kristian yang akan masuk Islam. Tetapi itulah hakikatnya, di mana puluhan ribu manusia penganut kristian boleh memeluk Islam dengan sukarela saban waktu. Sehingga paderi-paderi mereka pun ramai yang mendapat hidayah memeluk Islam dan kini giat menjadi pendakwah yang mengajak orang lain menganut Islam.
Setelah kewujudan air “Holy Water” kristian itu menjadi reda, air “Holy Water” buatan orang melayu masih belum reda malah semakin menyubur sehingga ke masa ini.
Holy Water milik masyarakat melayu ini dikatakan mampu menjadikan seseorang yang asalnya malas menjadi rajin, si bodoh boleh menjadi bijak, orang yang gelap hatinya akan menjadi ulama, orang yang selalu gagal boleh menjadi manusia berjaya, orang bujang boleh segera bertemu jodoh, malah sehingga boleh menjadikan seseorang yang sakit tenat kembali sihat. Sehingga terdapat Holy Water dengan ramuan-ramuan yang tertentu mampu membantu mengubati sehingga penyakit jantung dan buah pinggang yang kronik.
Begitulah keajaiban Holy Water versi melayu. Ia bukanlah suatu yang ditakuti sebagaimana kewujudan Holy Water versi kristian. Tetapi, Air keramat versi melayu ini adalah air yang menjadi buruan masyarakat yang benar-benar belum mengerti yang mengejar keajaiban segera. Mereka sebenarnya menjadi mangsa oleh golongan agamawan yang merosakkan.
Malah, kini ia bukan lagi setakat air, tetapi produk ini kini diperluaskan lagi ke dalam bentuk
lainya seperti melalui “Kismis Keramat”, “Madu Keramat”, dan seumpamanya. Produk-produk ini kini memiliki nilai komersil yang begitu hebat sekali.
Akhirnya, cara menghasilkan air-air keramat dan produk-produk keramat itu kian terbongkar!
Caranya amat mudah iaitu hanya dengan memanggil mana-mana orang berpangkat tok-tok guru atau ustaz-ustaz tertentu supaya mereka membacakan doa-doa tertentu, atau jampi-jampi tertentu, atau dengan mana-mana ayat-ayat suci al-Qur’an atau kebiasaannya surah Yasin, pada produk-produk tersebut. Setelah dibacakan pada produk tersebut, maka ianya akan dibungkuskan untuk dipasarkan kepada para pengguna atau pembeli yang mengkehendakinya. Malah ada juga produk seperti madu asli yang khas dibacakan dengan 30Juzuk al-Qur’an oleh
Ma’had-ma’had tahfiz tertentu bagi menjadikan madu tersebut lebih “power” (memiliki nilai tambah) berbanding madu asli yang lainnya. Malah dengan bacaan tersebut, akan menjadikan madu tersebut memiliki kuasa terapi dan daya penyembuhan yang lebih dasyat. Sehingga mampu memberikan keajaiban segera kepada para peminumnya. Wallahu a’lam.
Namun, tidak pula kita temui daya tambah yang seperti itu melalui kalam Rasulullah... wallahu a’lam. Meminum madu itu sememangnya anjuran sunnah, sayangnya tidak pula Rasulullah Shalallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan atau menunjukkan kaedah nilai tambah sebagaimana yang tersebut.
Sehinggakan saya sendiri pernah melihat ada sebahagian majlis-majlis bacaan yasin (yasinan) dan majlis-majlis tahlil (tahlilan) yang menyediakan air dalam jumlah-jumlah tertentu dengan diletakkan pada bekas-bekas tertentu yang kebiasaannya botol-botol bersaiz bekas mineral water, diletakkan pada kedudukan di tengah-tengah lingkaran majlis tersebut diadakan. Lebih
menariknya, apabila bacaan/majlis hendak dimulakan, penutup bekas (atau botol) akan dibuka dan setelah tamat majlis, penutup botol akan ditutupkan semula. Kemudiannya air-air tersebut akan diagih-agihkan dan diminum dengan hasrat akan memberi keberkatan dan penerang hati kepada si peminumnya.
Malah, selain dari majlis itu, air-air seperti itu kini kian menjadi suatu bahan produk yang
benar-benar memiliki nilai yang tinggi hasilnya. Serta memiliki nilai permintaan yang begitu tinggi di negara kita. Sekaligus mampu memberikan hasil pendapatan yang lumayan kepada para penjualnya.
Begitulah betapa telah meluasnya produk-produk ganjil dan aneh tersebut di dalam pasaran negara kita hari ini. Semuanya tidak lain, ianya wujud dan menjadi begitu “demand” disebabkan oleh kejahilan sebahagian masyarakat kita terhadap agama.
Jikalah benar para ustaz dan tok-tok guru tersebut ikhlas mahu membantu, apalah salahnya sekiranya dijampikan saja air sebanyak di lautan, air sepanjang sungai, air-air di empangan milik jabatan bekalan air, selebar air di tasik-tasik, air setelaga, beras di gudang-gudang, dan padi yang sedang menguning di sawah-sawah padi. Cara seperti ini lebih membantu, malah hasilnya kelak bakal diterima oleh keseluruhan masyarakat dengan lebih komprehensif dan adil. Kebaikannya bakal dapat dirasai bersama. Sama ada masyarakat yang miskin atau kaya. Yang mengetahui atau yang tidak mengetahui. Lalu, akan cerdik agama, bijak bestari dan sihat-sihat
belakalah seluruh masyarakat kita lantaran berkatnya Holy Water versi melayu tersebut. Akhirnya, seluruh negara akan mendapat manfaatnya. Nescaya akan cemerlang, gemilang dan terbilang masyarakat kita di Malaysia dengan berkatnya Holy Water versi melayu tersebut. Kelak akan lahirlah bijak pandai Melayu yang bakal menerima anugerah Nobel di peringkat antarabangsa, dan apabila ditanya tentang rahsia kejayaannya, maka jawablah, “Saya mengamalkan memakan madu keramat atau air penerang hati atau mungkin juga kismis doa!”
Tidak dinafikan memang wujud hadis-hadis yang menunjukkan kepada adanya persoalan
ruqyah dan jampi. Namun bukanlah sehingga diperluaskan skopnya kepada semua persoalan dan malah sehingga ianya dikomersilkan (dipasarkan).
Perlu untuk kita fahami sesuatu konsep itu dengan betul. Bahawa orang yang jahil (bodoh), ubatnya adalah dengan menuntut ilmu, orang yang gelap hatinya adalah dengan mempelajari al-Qur’an dan hadis, ubat bagi sebuah kegagalan adalah dengan meningkatkan daya usaha dan perancangan, orang yang malas ubatnya adalah dengan motivasi dan galakkan, orang yang sakit adalah dengan berjumpa doktor. Jangan kita brputus asa, Malah Allah memberi ruang kepada kita agar sentiasa berdoa memohon kepadanya.
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d, 13: 11)
Mungkin ada sebahagian penyakit seperti kerasukan jin atau terkena sihir, bolehlah dia diruqyah iaitu diberi rawatan dengan cara terapi jampi berpandukan petunjuk as-Sunnah. Iaitu dengan doa-doa tertentu yang tsabit dari as-Sunnah dan dengan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an tertentu. Juga mereka yang terkena sengatan lipan dan gigitan haiwan berbisa tertentu, maka memang ada sunnahnya dalam hal ini. Namun, perlulah merujuk dengan kaedah yang
benar-benar sahih dari petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bukannya main hentam kromo mengikut hawa nafsu yang kemudiannya dijadikannya sebagai produk meraih keuntungan. Bukanlah juga dengan sekadar membeli air pelbagai kegunaan cap “tok ustaz” di pasaran lalu diberikan kepada anak-anak yang sedang demam, anak yang mahu mengambil peperiksaan, anak-anak yang mahu menambah daya hafalan, dan seumpamanya.
Cara yang terbaik adalah si pesakit (yang mengalami gangguan) mengubati dirinya sendiri berpandukan zikir-zikir atau doa-doa yang ditunjuk-ajarkan oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadis-hadisnya yang sahih. Di samping itu, mereka sendirilah yang
perlu mengubah cara hidupnya iaitu dengan cara memperbaiki amal-amalnya, menjauhi syirik (sentiasa memelihara aqidah), dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Tidak lupa supaya dia sentiasa membaca, meneliti, serta mengamalkan isi kandungan al-Qur’an di mana pun dia berada. Jangan sehingga menjadikan rumahnya seperti kawasan kuburan yang tidak dibacakan al-Qur’an. Begitulah indah dan mudahnya mengamalkan Islam. Ia dipraktikkan berdasarkan ilmu dan keikhlasan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada dari lelaki atau perempuan, dan ia sentiasa di dalam keadaan yang beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, 16: 97)
Berdoalah dan mintalah kepada Allah dengan istiqomah dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang menjurus kepada syirik. Mintalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Allah itu Maha Mendengar, Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha memperkenankan doa. Dia sentiasa dekat dan memberikan pertolongan kepada hamba-hambanya yang beriman.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)
Maka, dengan ini, tinggalkanlah air-air keramat berupa produk-produk yang boleh menjadikan kita sebahagian dari pengikut hawa nafsu! Berubahlah dengan menjadi manusia yang beragama berpandukan ilmu.