Reunion terbesar keluarga aku
Sumber : Metro - Anad 21 Oktober 2007
ALOR STAR: Kemeriahan Aidilfitri kali ini sungguh bermakna bagi generasi keluarga Mohammad Janggut atau lebih dikenali dengan nama Tok Janggut apabila lebih 5,000 warisnya daripada generasi ketiga hingga ketujuh berkumpul di sini, semalam.
Wakil generasi kelima keluarga Tok Janggut, Mohamad Taib Ahmad, 47, berkata perhimpunan itu diadakan buat pertama kali selepas hampir empat tahun cuba menjejaki saudara mara yang hampir separuh daripada mereka masih menetap di Patani, Selatan Thailand.
Katanya, Tok Janggut antara ulama yang menjadi mangsa penindasan di Patani pada 1882 bersama beberapa ulama lain dengan berjalan kaki ke sini hampir dua minggu. Tok Janggut meninggal dunia pada 1917.
“Arwah Tok Janggut sebelum ini menetap di Patani dan disebabkan itu kami ada ramai saudara mara yang masih menetap di sana.
“Kami mengambil masa lama untuk menghimpun keseluruhan ahli keluarga Tok Janggut dan akhirnya usaha kami berjaya menjejaki mereka semua untuk bersama menghadiri majlis ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Telok Megat, Padang Hang, dekat sini, semalam.
Mohamad Taib berkata, dia mendapat idea untuk mengadakan majlis seperti itu selepas mengikuti seminar di sebuah universiti di Thailand.
Katanya, Tok Janggut ada 31 cucu, 500 cicit dan lebih 5,000 piut, membabitkan generasi kelima hingga ketujuh.
“Daripada 31 cucu, hanya tujuh masih hidup dan cicit paling tua kini berusia 99 tahun,” katanya.
Cucu Tok Janggut, Ahmad Daud, 80, berkata dia tidak menyangka Tok Janggut ada keluarga besar serta seronok melihat gelagat cucu cicit berhimpun pada hari kelapan Syawal, semalam.
“Kami akan menubuhkan tabung keluarga bertujuan membantu ahli keluarga yang kurang bernasib baik. Sumbangan akan diberi dalam bentuk tunai kepada mereka yang memerlukan.
“Insya-Allah kami akan mengadakan perhimpunan seperti ini setiap tahun untuk merapatkan lagi hubungan sesama kami,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Hashim Bakar yang juga Tokoh Maal Hijrah Kelantan serta antara cicit Tok Janggut.