Sunday, May 11, 2008

Renungan Buat Pengarah Filem

Dengan kemajuan teknologi yang kita nikmati sekarang, banyak kemudahan yang dapat kita manfaatkan darinya. Tidak ketinggalan juga industri hiburan kita yang semakain hari semakin rancak dan maju kehadapan. Penggunaan kasan khas, CGI dan kesan bunyi yang canggih dapat menghasilkan kepuasan kepada peminat-peminat filem tempatan. Diakui, industri filem kita telah keluar dari kepompong lama yang hanya bersajikan kisah percintaan yang dilakonkan artis-artis pujaan.

Kehadiran pengarah-pengarah baru seperti Ahmad Idham, Yasmin Ahmad, Afdlin Shauki dan yang seangkatan dengannya sedikit sebanyak memberi impak besar kepada industri perfileman tanahair sekaligus membuka satu paradigma baru kepada rakyat Malaysia khususnya Melayu.

Dari sudut hiburan, ini satu perkembangan yang baik kerana filem-filem kita telah mula diterima oleh negara-negara luar. Kualiti sinematografi yang sudah hampir menjejaki Hollywood amat membanggakan. Adalah tidak rugi bagi mereka yang membayar RM untuk tontonan di pawagam kerana ia agak memberi kesan. Kreativiti pengarah-pengarah baru ini sedikit sebanyak dapat membuka minda penonton untuk memerima satu bentuk pemikiran yang subjektif. Contohnya seperti filem Mukhsin, Gubra, Anak Halal dan terbaru, Akhirat. Filem-filem ini begitu subjektif. Sesetengah peminat filem sangat gemar menonton filem dari 'genre' ini.

Disebalik perkembangan terbaru ini, ada beberapa perkara yang membuatkan hati saya sedikit gentar. Kemanakah hala tuju industri kita? Sejauh mana keikhlasan pengarah dalam filemnya? Kita disogokkan dengan 'review' menarik dari pengkritik-pengkritik filem tanah air dalam media-media hiburan. Namun siapa yang mempersoalkan keikhlasan pengarah? Tiada. Lihat saja pada filem-filem seperti Remp-It. Komen dari pengarah, moral filem ini ialah untuk menunjukkan keburukan sifat 'rempit' itu namun 80% dari filem itu seakan-akan mempromosi gejala 'rempit'. Hanya babak akhir yang membawa nilai positif. Kenapa tidak hanya 20% diperuntukan untuk babak rempit dan 80% lagi kesan-kesan buruk rempit? Adakah keadaan ini akan membuatkan penonton rasa bosan? Seorang pengarah yang baik dapat memanipulasikan apa-apa keadaan sekalipun untuk menghidupkan cerita. Lihat saja filem Castaway, kenapa 1 watak saja dapat menghidupkan filem itu?

Kini, filem genre 'Horror'/SG kembali ke persada tanah air dengan wajah baru.Kesan khas, bunyi dan CGI dipadukan dan hasilnya amat menarik. Kesan 'takut' menembusi minda penonton hingga ke kamar tidur. Tiada lagi darah pencelup, muka yang ditempek dan muzik ala-ala twilight zone. Tidak lama dahulu, genre 'SG' ini diharamkan kerana unsur khurafatnya oleh kerajaan. Apa sudah jadi? Bukan saja di pawagam, ia semakin hari semakin banyak di kaca tv. Bermacam-macam kepercayaan dilambakkan. Yang pastinya, kesemuanya dimasukkan unsur-unsur Islam sebagai seteru kepada kuasa jahat. Sekali lagi, sejauh mana kajian pengarah keatas Islam hingga sanggup memanipulasikan ayat-ayat Allah secara semberono? Adakah mereka mengambil berat? Adakah mereka ikhlas? Lihat saja filem yang akan ditayangkan ini :




Di kaca tv pula, siri-siri seperti Susuk, Anak Pontianak, Saka, Seekers dsb disogokkan bertali arus. Kelihatan idea pengarah-pengarah ini seperti air mengalir. Mudahnya untuk menghasilkan filem. Ambil apa saja yang terlintas di hati dan terdengar di telinga.

Manakala siri-siri yang hanya berkisar tentang orang kaya juga banyak. Contohnya seperti SPA Q, Air Mata Maria, Datin Diaries, Bella dsb, hanya berkisarkan tentang perebutan harta dan wang ringgit. Yang jahat tetap menang selagi cerita tidak sampai kepenghujungnya walaupun hanya dengan tindakan 'bodoh'. Yang baik akan tetap kalah biarpun sampai ke episod yang ke-1000 selagi cerita tidak habis. Polis, mahkamah, dan badan berkuasa pun tidak mampu untuk selesaikan satu jenayah mudah. Dan akhirnya yang baik akan menang dengan hanya satu jalan mudah apabila tiba masanya. Kesimpulannya, siapa yang diperbodohkan pengarah?

Kesimpulannya, disebalik perkembangan industri perfileman kita, kelihatan seperti pengarah-pengarah berpotensi semakin hanyut dalam keghairahan mengaut keuntungan dan menjadi popular. Keikhlasan menukilkan karya amat penting kerana faktor filem sedikit sebanyak dapat memberi kesan ke atas minda kanak-kanak dan remaja. Mereka haruslah memikirkan permasalahan umat yang dapat dibendung dengan hanya secebis karya. Banyak lagi kisah baik yang belum difilemkan. Banyak lagi dimensi yang belum diterokai. Tidak hanya ada pada orang kaya, orang kacak/cantik dan orang kota. Apa maksudnya? Bagaimana? Seorang pengarah yang baik dapat memahaminya.
Saya juga tertanya-tanya, kemana perginya semua pengarah yang bagus dalam menagani isu Fitna? Tidak bolehkah dengan otak yang cemerlang dan kreatif menghasilkan satu filem pendek untuk menjawab FItna? Berapa lama perlu diambil? Sehari? Seminggu? Sebulan? Seorang pengarah yang baik pasti dapat menghasilkannya tanpa bajet yang besar dalam jangkamasa yang singkat.

Persoalannya, siapa yang bertanggungjawab untuk menasihati mereka ini?

WA

Hellilyntax