Suka Duka Al Imam Qaradhawi Digelar Wahabi
Oleh : Yussamir Yusof
Sumber: www.yussamir.com
Meninjau kembali sejarah dan liku-liku perjuangan Prof Dr Yusuf al-Qardhawi, seseorang itu pasti akan menimba pelajaran yang sangat besar dari tokoh besar ini. Kehidupannya yang penuh dengan ilmu dan dakwah, membentuk diri beliau sebagai seorang sarjana dan ilmuan islam yang disegani pada zaman ini.
Ketika anak-anak murid beliau mengadakan seminar memperingati jasa dan ketokohan beliau serta menamakan beliau sebagai Al-Imam. Air mata beliau menitis deras membasahi janggutnya, kemudian tokoh besar ini berkata, “Sesungguhnya tidaklah layak aku memakai gelaran ini. Aku hanyalah seorang penuntut ilmu, dan akan terus menuntut ilmu hingga akhir hayatku.”
Kesarjanaan dan ketokohan beliau telah diakui oleh beratus malahan beribu ulama besar yang lain di seluruh dunia. Beliau yang sering dijoloki dengan gelaran Al-Imam Al-Wasatiyah (Imam yang bersederhana) bukan sahaja memberi pengaruh yang besar dalam dunia intelektual, malahan memberi sumbangan dalam dunia politik Islam.
Namun begitu, tokoh Ilmuan Islam ini semasa mudanya menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran bukan sahaja dari luar malahan dari dalam pusat pengajiannya. Suatu ketika dahulu, beliau berhadapan dengan pelbagai konterversi hanya kerana beliau menegur gurunya berkaitan dengan perkara khurafat yang berlaku di sekitar Mesir. Atas peristiwa ini, beliau digelar oleh gurunya dengan gelaran Wahabi!
Bukan setakat di bilik darjah, di tempat tinggalnya juga beliau terpaksa menangani kekecohan dari penduduk tempatan yang mendakwa beliau telah menghina para ulama kerana mengeluarkan pandangan yang berbeza.
Dalam Mukadimah buku beliau Fatwa Mu’asarah, beliau menulis, “Pada mulanya saya menimbulkan kekecohan di kalangan orang ramai. Mereka tertanya-tanya: “Bagaimana pemuda ini berani berbeza pandangan dengan syeikh-syeikh besar? Bagaimana dia mengajar orang-orang bukan daripada kitab-kitab muktabar? Bagaimana dia boleh mengeluarkan pandangan-pandangan yang sebelum ini belum pernah kami dengar?” Saya menghadapi hal ii dengan penuh tabah sambil mempertahankan pandangan. Saya katakana kepada orang-orang yang tidak bersetuju: “Di antara saya dan kamu ialah al-Quran dan Sunnah. Oleh itu marilah kita kembali kepadanya.”
Prof Dr Yusuf al-Qadhawi mengharungi tuduhan dan fitnah ini dengan penuh takwa dan sabar. Kerana beliau sedar dan yakin bahawa hak sentiasa akan ditentang oleh kebatilan. Malahan al-Quran dan as-Sunnah telah menceritakan bagaimana sukarnya perjuangan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam menyebarkan risalah tauhid dan membersihkan kesyirikan manusia ketika itu.
Kerana yakin dan tahu bahawa hanya kebenaran yang dibawa, Prof Dr Yusuf al-Qardhawi tidak berganjak dengan prinsip dan seruan tajdidnya(pembaharuan) terhadap agama. Kesungguhan dan keyakinan beliau terhadap seruan kembali kepada al-Quran dan Sunnah (tajdid) atas prinsip dan kefahaman para sahabat dan tabien, telah memberi pengaruh yang besar dalam dunia Intelektual Islam.
Jika disoroti perjalanan dakwah dan kesarjanaan Al-Qardhawi, ia hanyalah kesinambungan dan kelansungan perjuangan Ulama-ulama besar sebelum beliau. Misalnya al-Imam Ibnu Taimiyah dan al-Imam Ibnu al-Qoyim yang sinonim dengan gerakan Tajdidnya dan usaha mereka memerangi syirik dan bid’ah.
Tuduhan dan fitnah yang sentiasa bermain di bibir masyarakat kepada al-Qardhawi masih wujud sehinggalah masa kini, setelah beliau dikenali sebagai Sarjana dan Ilmuan Islam besar. Istilah-istilah Wahabi masih lagi terus wujud dan diletakkan di bahu beliau. Malahan tuduhan bahawa beliau Muktazilah serta kafir turut berlegar di kalangan mereka yang membenci tokoh ini.
Namun, beliau tidak pernah beranjak sedikit pun dari prinsip dan perjuangannya. Walau ditohmah dan dituduh dengan gelaran Wahabi dan sebagainya, beliau tidak pernah menganggapnya sebagai batu penghalang kepada seruannya kepada umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Menariknya apabila ditanya kepada beliau tentang Muhammad bin Abdul Wahab, seorang tokoh islam yang dituduh dengan pelbagai tuduhan serta mengaitkan tokoh ini dengan gelaran Wahabi. Al-Qardhawi menjawab dalam bukunya Feqh al-Auliyat (Feqah keutamaan) , “Perkara pokok dalam da'wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mengamalkannya dalam rangka menghancurkan berbagai gejala kemusyrikan.”
Justeru, jika ada tokoh atau Sarjana Islam yang membawa misi yang sama dan seruan yang sama maka bersiap-siaplah untuk mendapat gelaran Wahabi; yang anda sendiri tidak tahu menahu tentang terminologi ini.
Kepada mereka yang suka bermudah-mudah dan ringan mulut memburukan dan membuat tuduhan di atas nama agama. Marilah kita muhasabah dan bersikap amanah dalam menyebarkan ilmu. Buangkan prasangka, sikap ujub serta tabiat melabel-labelkan orang, lebih-lebih lagi apabila kita bercakap atas tiket agama. Firman Allah dalam surah al-Hujrat ayat 12, “hai orang-orang yang beriman. Jauhilah banyak bersangka-sangka, kerana sesungguhnya sangkaan itu berdosa”
Dikuatkan lagi dengan pesanan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam, “Hati-hatilah kamu terhadap prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sedusta-dusta perkataan” (Hadith direkodkan Imam Bukhari).
Maka beruntunglah mereka yang tetap di jalan kebenaran, dan jika anda berani untuk mengaku sebagai wahabi, hafallah dan telanlah ucapan HAMKA ini sebagai panduan apabila diasak dengan soalan, “Adakah anda Wahabi?.”
“Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali yang keras mempertahankan Sunnah. Dan yang berpengaruh memperbaharui (Tajdid) faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qoyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.” (Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah dalam tulisannya terhadap Mufti Johor as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad pada tahun 1958)
4:44 PM | Labels: Pedoman | 0 Comments
Gempa di Padang: Kaitan Waktu Dengan Ayat Al-Quran
Baru-baru ini pada 30 September 2009, berlaku kejadian gempa bumi besar di Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Ia berlaku tepat jam 17:16 (Waktu Indonesia). Kemudian disusuli dengan gempa kedua pada jam 17:58. Pada keesokan pula, berlaku satu lagi gegaran di Jambi pada jam 8:52.
Gempa bumi yang malanda Indonesia kali ini cukup besar dengan saiz yang direkodkan ialah 7.6 skala Richter. Hingga kini, angka korban yang dicatatkan menghampiri 1000 orang, dan beberapa buah kampung sudah diisytiharkan sebagai tanah perkuburan besar selepas operasi mencari mangsa yang tertimbus dihentikan.
Beberapa hari selepas tragedi gempa tersebut, tersebar melalui email dan SMS satu andaian mengaitkan waktu-waktu gempa dengan beberapa ayat Al-Quran. Berikut adalah contoh tulisan yang tersebar:
Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa).
Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.
Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud: Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz).
Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud: (keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya.
Persoalannya, bolehkah mengaitkan secara langsung tiga ayat Al-Quran di atas dengan tiga gegaran gempa bumi baru-baru ini berdasarkan persamaan antara waktu gempa dengan nombor surah dan ayat Al-Quran?
Saya cuba membawakan beberapa fakta yang mempertikaikan kebenaran teori mengaitkan waktu kejadian dengan nombor surah dan ayat Al-Quran.
1- Waktu-waktu gempa tersebut (17:16, 17:58, dan 08:52) adalah mengikut standard Waktu Min Greenwich (Greenwich Mean Time) ataupun ringkasnya GMT. Untuk pengetahuan, sistem waktu GMT hanya mula diperkenalkan sekitar tahun 1884 dan Kota Greenwich yang terletak di Britain dipilih sebagai pusat.
Ini bermakna teori mengaitkan waktu gempa dengan nombor surah dan ayat Al-Quran hanya relevan selepas diperkenalkan sistem waktu GMT iaitu pada tahun 1884. Maka jelas bahawa ini adalah teori yang baru, yang tidak pernah diketahui oleh ulama terdahulu, apatah lagi pada zaman Kenabian.
2- Teori mengaitkan waktu peristiwa dengan nombor dan ayat Al-Quran hanya terhad kepada 24 surah pertama sahaja, iaitu daripada Surah Al-Fatihah hingga Surah Al-Nuur. Ia juga terhad kepada 59 ayat pertama sahaja daripada 24 surah berkenaan. Kerana, sistem waktu ini hanya mempunyai 24 jam, dan setiap jam mempunyai 60 minit.
Jumlah keseluruhan surah dalam Al-Quran ialah 114 buah. Bererti terdapat 90 surah lagi dalam Al-Quran yang langsung tidak boleh diaplikasikan kaedah penafsiran ini. Manakala 24 surah pertama pula, hanya 59 ayat pertama sahaja yang berkaitan dengan kaedah ini.
3- Mengikut teori ini, angka jam dipadankan dengan nombor surah, dan angka minit dipadankan dengan nombor ayat. Contohnya pukul 17:16 boleh dipadankan dengan surah ke-17 iaitu Al-Isra’ dan ayat yang ke-16 daripada surah tersebut.
Soalnya, dari manakah kaedah padanan ini diambil? Adakah dari seorang rasul yang diutuskan, atau dari akal yang keterlampauan?
4- Jika teori ini benar dan bukannya kebetulan, sudah pasti setiap peristiwa besar seperti gempa dan tsunami boleh dirujuk terus kepada ayat Al-Quran dengan melihat kepada waktunya yang dipadankan kepada ayat Al-Quran.
Atau sekurang-kurangnya dengan mengatakan bahawa sejak diperkenalkan sistem waktu GMT pada 1884, maka setiap peristiwa besar yang berlaku boleh dirujuk ayat Al-Quran dengan memadankan antara waktu dengan nombor surah dan ayat.
Tetapi selepas membuat beberapa padanan terhadap beberapa kejadian gempa sebelum ini, didapati bukan semua kejadian gempa bumi sesuai dipadankan dengan nombor surah dan ayat. Hasil yang diperolehi kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang kaitan antara ayat berkenaan dengan kejadian.
5- Kaedah-kaedah memadankan angka samada waktu atau tarikh dengan ayat Al-Quran adalah satu bentuk mempermain-mainkan ayat Al-Quran. Sebelum ini terdapat kajian berdasarkan angka Al-Quran mengatakan bahawa peristiwa 11 September sudah pun diisyaratkan di dalam Al-Quran. Dan kajian-kajian angka seperti ini juga menghasilkan satu ramalan bahawa Qiamat akan berlaku pada 2012 akan datang. Lihatlah kesesatan manusia apabila memahami Al-Quran dengan kaedah yang direka-reka.
Perlu difahami, ini bukan bermakna dilarang mengambil iktibar sesuatu peristiwa daripada ayat Al-Quran. Malahan, kita dituntut supaya merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dalam apa jua pertikaian dan permasalahan dalam kehidupan.
Contohnya, peristiwa gempa seperti ini boleh dikaitkan dengan ayat 22-23 surah Al-Hadid yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”.
Jika diikutkan teori mereka, sampai bila-bila pun sebarang peristiwa bencana tidak dapat dikaitkan dengan ayat ini kerana kedudukannya ialah pada 57:22, sedangkan sistem waktu hanya mempunyai 24 jam sahaja.
Kesimpulannya, ambil lah iktibar daripada Al-Quran berdasarkan padanan antara peristiwa dengan makna dan tafsiran satu-satu ayat Al-Quran. Bukan berdasarkan padanan antara waktu dan nombor ayat Al-Quran.
Sekian.
Sumber : http://abuumair1.wordpress.com/2009/10/14/gempa-di-padang-kaitan-waktu-dengan-ayat-al-quran/#more-1910
1:47 AM | Labels: isu semasa, Pedoman | 0 Comments





